Terima kasih saudara Pengerusi Majlis. Barisan panel
hakim yang arif lagi bijaksana, dif-dif kehormat, rakan-rakan seperjuangan dan
hadirin sekalian. Selamat sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Adakah Bahasa Melayu telah berkurangan kepentingannya
dan tidak mengikut peredaran masa? Adakah Bahasa Melayu sudah tidak relevan di
era globalisasi ini? Adakah Bahasa Melayu kini sudah terabai kerana adanya
bahasa-bahasa lain yang merupakan lingua franca pilihan?
Bahasa Melayu merupakan martabat dan kemegahan negara Malaysia.
Bahasa Melayu masih utuh. Walaupun ia lebih dikenali sebagai bahasa kebangasaan
negara Malaysia, ia memainkan peranan-peranan yang lain dalam hidup seharian
masyarakat Malaysia.
Saudara dan saudari sidang dewan,
Bahasa kebangsaan sesebuah negara melambangkan identiti
negara tersebut di mata dunia. Bahasa adalah lambang ketamadunan sesebuah
masyarakat. Bahasa Melayu memberi negara dan rakyat Malaysia
pengiktirafan bahawa kita adalah negara unik yang bertamadun dan maju. Bahasa
Melayu merupakan salah satu lingua franca yang penting semasa zaman
kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan entreport yang menemukan dunia
perdagangan Timur dan Barat. Keindahan bahasa Melayu dan kesopanan pertuturnya
memang wajar ia dijadikan lingua franca pedagang. Salah satu kelebihan bahasa
ini adalah asimilasi yang dipengaruhi oleh pelbagai bahasa seperti Arab,
Sanskrit, Portugis, Cina dan lain-lain lagi. Asimilasi ini menggambarkan
kehidupan di negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk dan kaya dengan sejarah dan
tradisi yang pelbagai hidup secara harmoni di bawah satu bendera dan satu
bahasa. Bahasa Melayu, sebuah bahasa yang dapat berubah dan bertahan mengikut
peredaran masa, smemangnya melambangkan ciri-ciri negara Malaysia.
Tatkala Tanah Melayu dijajah orang Inggeris yang
mengamalkan dasar pecah dan perintah, bahasa inilah yang memungkinkan perpaduan
dicapai. Rakyat Tanah Melayu dibahagikan mengikut industri dan penempatan. Pertanian
di luar bandar dijaga oleh Orang Melayu, orang Cina pula di bandar-bandar
berasaskan kegiatan perlombongan dan orang India
boleh dijumpai di ladang-ladang teh dan juga getah. Secara geografi, ia adalah
hampir mustahil untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang hidup di lokasi
berlainan yang dipenuhi bangsa dan bahasa masing-masing. Maka, dengan ini,
perpaduan menjadi pertaruhan terbesar dalam syarat mencapai kemerdekaan dari
para penjajah. Bahasa Melayu adalah bahasa yang menjadi pemangkin perpaduan di Malaysia.
Oleh kerana keseluruhan ahli masyarakat diberi suatu bahasa untuk diguna
sebagai bahasa pengantara, kemesraan dan keakraban dapat terjalin. Kunci
perpaduan berterusan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama di Malaysia
terletak pada bahasa kebangsaan negara ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain itu, Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa
akademik. Kesemua pelajar-pelajar di negara ini diwajibkan belajar menulis dan
membaca dalam bahasa kebangsaan. Rata-rata kesemua mata pelajaran yang diajar
di sekolah-sekolah nasional adalah dalam Bahasa Melayu. Negara Malaysia
memartabatkan penggunaan bahasa ini melalui pendidikan. Peperiksaan-peperiksaan
awam seperti UPSR dan SPM menitikberatkan kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu bagi memperolehi sijil pencapaian. Bakal-bakal graduan juga diwajibkan
mengambil kursus Bahasa Melayu di universiti bagi menggalakkan pembelajaran
bahasa kebangsaan yang berterusan. Mana-mana urusan rasmi di negara ini
menggunakan bahasa kebangsaan dengan meluas. Oleh itu, menjadi kepentingan
bersama ahli masyarakat bagi mempelajari bahasa kebangsaan di bangku sekolah
lagi.
Sebelum saya mengakhiri pidato saya ini, izinkan saya
menjawab kembali soalan-soalan yang saya kemukakan di awal pidato saya. Bahasa
Melayu adalah salah satu bahasa di dunia yang dapat bertahan selaras dengan
peredaran masa dan tidak kurang kepentingannya berdasarkan kuasa asimilasi
bahasa ini. Bahasa Melayu sangatlah penting dalam aspek perpaduan negara yakni
menjadikan ia sangat relevan kepada masyarakat dan negara. Bahasa Melayu tidak
akan terabai kerana system pendidikan negara ini menjulang tinggi Bahasa
Melayu. Bahasa Melayu adalah kemegahan bangsa Malaysia.
Akhir kata, Bahasa Jiwa Bangsa.
Sekian, terima kasih. Salam 1Malaysia.
SUMBER
No comments:
Post a Comment