Cintai bahasa Melayu

Cintai bahasa Melayu

3 Sept 2013

Pengajaran Ini Bermakna Untukku



“Aku tak tahu kenapa wajah budak tu tak boleh hilang dari kepala aku, Wan. Aku ada badan sihat, aku abaikan. Bila aku tengok budak tu, aku rasa loser. Aku rasa aku salahguna nikmat kesihatan yang Tuhan bagi. Aku dah nekad. Bila aku rasa dah bersedia, aku nak derma sikit hati aku ni untuk dia. Sekarang masanya dah sampai.”

Memori lampau itu kerap bermain-main dalam benak fikirannya. Seakan berputar-putar pada corong telinganya. Berulang-tayang seperti suasana monokrom filem gambar di hujung anak matanya. Langit membiru terbentang seluas hamparan alam dijaluri kepulan-kepulan awan yang bertebaran di angkasaraya. Bas biru-kuning tertera ‘Universiti Malaysia Pahang’ yang tadinya meluncur laju di jalan raya mula perlahan dan akhirnya berhenti di perkarangan hospital yang dituju. “Hoi lahanat, bangun. Membuta je kerja kau. Dah sampai ni. Jom turun!” Harith yang dari awal perjalanan lena kedengkuran di kerusi bas yang empuk disergah Ridwan, rakan sekampus yang turut serta dalam program bakti siswa kendalian universitinya. “Kejut elok-elok tak boleh?” Bibirnya dicebik tanda kurang berpuas hati. “Baiklah Rith. Sorry ya? Mari lah intan payung. Mari lah kita turun.” Ridwan membalas dengan nada gurauan yang mengundang hilai tawa rakan-rakan kampus yang lain.

Suasana di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan atau HTAA ketika itu ternyata sibuk. Pelbagai kenderaan keluar masuk melalui pintu utama hospital berkenaan.  Di sisi kiri pintu masuk utama kelihatan sebilangan kanak-kanak berseluar dan berbaju biru seragam sedang bermain-main di padang rumput yang menghijau. Pada tangan kanan salah seorang kanak-kanak itu ada jarum transfusi yang dilekatkan dengan sejenis pelekat kain berona krim. Anak matanya berwarna hazel manakala mata putihnya kekuningan dan perutnya sedikit kembung. “Wan, budak tu kenapa?” Harith memuncungkan bibirnya ke arah kanak-kanak si empunya sepasang mata hazel itu. “Entah. Sudahlah. Semua orang dah masuk dalam. Jomlah Rith.” Pertanyaannya nyata mati spontan.

Rombongan bakti siswa itu diberi penerangan ringkas oleh staf bertugas di wad pediatrik HTAA. Staf wanita yang manis berbaju kurung rona biru lembut dipadankan dengan tudung bawal dua rona, ternyata Harith cuma mampu berdiri pegun tanpa berkelip mata. “Hoi gemuk. Sudah-sudah lah tu nak tenung staf tu lama-lama. Badan macam tong dram ada hati nak berangan lebih-lebih ya?” lamunannya terhenti dek sindiran rakan-rakan sekampus yang tidak sudah-sudah mengejek perihal tubuh gempalnya. Harith mendengus.

Waktu merangkak perlahan buat Harith. Jarum jam tangan Casio pemberian ayahnya ditenung. “Ah. Baru pukul 10.30?” dia mengeluh kecil. Ekor anak matanya tiba-tiba terpaku pada kanak-kanak tadi yang dilihatnya sedang duduk mengerekot di hujung katil. Namun kali ini riak anak kecil itu berbeza. Dahinya berkerut sambil tangannya mengurut-urut bahagian abdomennya. Seorang jururawat yang menyedari keadaan itu memanggil doktor bertugas. Dalam sekelip mata anak kecil itu dikerumuni para petugas wad. Langsir pada ruangan katil kanak-kanak itu ditarik. Wajah kesakitan anak itu hilang dari pandangannya. Harith tunduk lesu. Entah mengapa hatinya rasa terkesan sekali melihat kanak-kanak itu.

Hampir lima bulan berlalu sejak rombongan mereka ke wad pediatrik itu. Wajah kanak-kanak bersama matanya yang kekuningan dan perutnya yang kembung masih bermain-main dihujung anak mata Harith. Setelah hampir lima bulan itu jugalah, Harith mula rajin bersukan pada waktu petang di kampusnya. Hampir setiap hari Ridwan melihatnya gigih berbasikal sehingga bajunya kebasahan. Rakan-rakan sekampus mula hairan melihat Harith rajin menghadirkan diri ke gimnasium sehingga lewat petang. Selama mereka mengenali Harith, lemak-lemak berlebihan menggelebeh di bahagian perutnya. Paha kiri dan kanannya bergesel apabila kakinya melangkah. Apabila menjamu selera di kafeteria pelajar pula lagaknya seperti kelaparan seminggu. Laju sahaja dia melahap apa jua yang terhidang di depan mata.

“Rith, kau kena sampuk hantu ke dah beberapa bulan ni? Berjoging petang. Berbasikal. Pergi gym. Sampai dah kurus kau ni aku tengok. Kenapa kau ni?” Akhirnya Ridwan memulakan pertanyaan yang sudah berbulan seakan-akan tersangkut pada anak tekaknya. Harith tersenyum. “Aku nak jaga hati aku.” Jawabnya ringkas. Tuala hijau pada hujung kaki katilnya dicapai. “Dah lah. Aku nak pergi mandi.” Konversasi itu mati spontan. Ridwan menggaru kepalanya yang tidak gatal melihat gelagat rakannya yang tidak difahami. Usai membersihkan diri, Harith meminta Ridwan untuk bersiap. “Nak pergi mana?” Ridwan bersuara. “Ikut sahaja lah Wan. Nanti aku beritahulah.”

Bertemankan Proton Satria Neo CPS R3 kesayangan, Harith dan Ridwan tiba ke destinasi yang ingin dituju; HTAA. Di lot parkir kereta barulah Harith akhirnya membuka mulut. “Aku dah mendaftar jadi pengikrar penderma organ empat bulan lepas. Seminggu cuti Raya Haji dulu tu aku ke Kuala Lumpur sebenarnya. Pergi dapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ dari Pusat Sumber Transplan Nasional. Aku dah jalani proses saringan kesihatan. Hari ni, budak mata hazel tu kena jalani pembedahan transplan hati. Dan akulah penderma hati tu.” Ridwan tercengang. Lidahnya kelu. Tidak semena-mena ada air jernih merembes keluar dari kelenjar matanya. Tubuh Harith dipeluknya erat. Baru dia mengerti akan keganjilan perangai sahabatnya itu sejak pulang dari lawatan ke wad pediatrik HTAA. Kegigihan semangatnya yang tiba-tiba berubah drastik dari kerap tidur dan bermalas-malasan di atas katil bujang, kepada seorang yang tidak pernah cuti bersukan saban hari rupa-rupanya diiringi hasrat murni untuk menyelamatkan nyawa.

“Kau buat semua ni, bersukan, berbasikal tu semua untuk ni ke Rith?” Matanya masih berkaca. Sungguh. Tidak terjangkau dek akal fikirannya bahawa sahabatnya itu rupa-rupanya menyimpan hasrat mulia. “Yalah. Takkan aku nak bagi pada orang hati aku yang penuh lemak kan? Jadi aku kenalah pastikan hati aku sihat untuk di-let go orang putih kata.” Harith mengenyitkan matanya.

Seingatnya, itulah kali terakhir Ridwan melihat kuntuman senyuman mekar pada bibir sahabatnya, Harith. Dua bulan selepas transplantasi sebahagian hatinya kepada kanak-kanak kecil bermata hazel itu berjaya dilakukan, Harith meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya akibat dilanggar bas ekspres yang dipandu laju. Belum sempat kanak-kanak kecil itu mengerti pengorbanan dan kasih sayang lelaki asing yang dipanggilnya “abang Harith” itu, dia dijemput ke pangkuan Illahi. Biar tidak punya pertalian darah, kasih sayang itu melimpah-ruah. Anak kecil itu biarpun belum mengerti apa-apa, namun dia berasa kehilangan besar setelah pemergian Harith. Biar cuma sebulan dua ikatan itu terjalin, namun kasih sayang itu nyata. Kini, Ridwan juga telah menjadi salah seorang pengikrar penderma organ berdaftar. Harithlah pemulanya. Kerana sahabatnya itu, dia sedar menderma organ mampu ‘menyambung nyawa’, mengikat kasih sayang dan perikemanusiaan. “Pengajaran ini bermakna untukku.” Bisik hati kecilnya.

 THANESWARY ARUMUGAM

http://sunkenpaperheartyou.blogspot.com/2012/10/cerpen-pendek-pengajaran-ini-bermakna_15.html

No comments:

Post a Comment